KHAS BUAT RAKYAT PASIR MAS
ammboi
| Nov 20, 2011 | RAUDHAH AL-ILMI
SEJARAH DAN ASAL USUL PASIR MAS |
DIKATAKAN ‘KILANG’ JELITAWAN | Rehatkan minda sebentar dari bebanan Final
Bola Sepak Sukan Sea Indonesia 2011. Apa yang ammboi nak cerita dan
kongsikan disini adalah mengenai Sejarah dan Asal Usul Bandar Pasir Mas,
Kelantan yang dihebahkan sebagai ‘kilang’ jelitawan. Maklumlah, mana tak
‘ghairah’ ammboi nak share, sebab ammboi sendiri pon asalnya dari Pasir Mas,
Kelantan. Akhbar MyMetro hari ini ada menceritakan dalam artikelnya
bertajuk, ‘Pasir Mas ‘Kilang’ Jelitawan. Bacalah sendiri petikan penuh dibawah
yer.
Sebut saja nama daerah Pasir Mas,
Kelantan, pasti ramai mengaitkannya sebagai ‘kilang’ gadis cantik hingga sering
diburu oleh pemuda tempatan mahupun luar Kelantan untuk dijadikan calon isteri.
Malah, tidak keterlaluan jika gadis Pasir Mas yang terkenal dengan jolokan
comel ‘lote’ serta memiliki wajah keayuan yang asli itu dianggap sama seperti
Cinderella yang sentiasa menjadi igauan setiap ‘putera’. Ini kerana, bila
disebut saja gadis Pasir Mas, ramai pemuda terbayangkan seorang gadis Melayu
yang memiliki raut wajah ayu dan jelita, sama seperti gadis zaman bangsawan.
Paling ketara, gadis Pasir Mas memiliki
wajah Melayu yang mampu menggoda lelaki tanpa perlu disolek. Selain itu kulit
mereka, terutama di tangan, kelihatan lembut dan gebu seperti bayi. Namun,
paling menarik ialah keunikan mata gadis Pasir Mas. Mereka dikatakan memiliki
mata menawan iaitu berwarna coklat kebiruan dan kelabu, lengkap dengan alis
mata dan kening hitam serta tebal, seolah-olah memakai celak. Ada penduduk
mendakwa wanita dari Pasir Mas mempunyai hubung kait dengan puteri dongeng
Kelantan, Puteri Sa’adong yang dikatakan memiliki wajah cantik dan ayu.
Ada juga mendakwa kecantikan kulit
gadis Pasir Mas diwarisi daripada nenek moyang mereka yang berasal dari Selatan
Thailand dan berhijrah ke daerah ini sejak puluhan tahun lalu. Nenek moyang
mereka dikatakan mengamalkan makan beras pulut setiap hari, selain mandi
menggunakan air basuhan beras bagi mengekalkan ketegangan kulit supaya sentiasa
kelihatan menarik dan gebu. Ada juga yang memakan buah-buahan seperti tomato
setiap pagi serta meminum air suam bagi mengekalkan kecantikan kulit badan.
Antara kampung di Pasir Mas yang
didakwa tersohor kerana mempunyai ramai gadis cantik ialah Kampung Seberang
Pasir Mas, Kampung Betong, Kampung Aur Duri, Kampung Bunut Susu, Kampung Slow
Machang dan Kubang Bemban. Menurut Fatihah Fauzi, 22, dari Kampung Lemal, sejak
dulu lagi dia dan dua kakaknya diasuh oleh emak supaya meminum air suam.
“Saya tidak suka memakai alat solek
kerana ia dikatakan penuh dengan bahan kimia yang memudaratkan wajah. Saya
lebih suka wajah ini tidak disolek kerana ia tetap kelihatan ceria jika kita
menjaganya dengan baik,” katanya.
Apapun, keistimewaan gadis Pasir Mas
pasti mempunyai kaitan dengan sejarah dulu kala. Berdasarkan sejarah kewujudan
Pasir Mas, kawasan itu dipercayai dibuka oleh Che Leh @ Salleh Ismail yang
berhijrah selepas tanahnya di Kota Bharu diambil alih oleh Sultan untuk membina
istana. Walaupun pada awalnya tidak bersetuju dengan desakan perpindahan itu,
Che Leh yang turut digelar Che Leh Tok Pendekar terpaksa akur dengan titah
Sultan kerana tidak mahu dianggap menderhaka.
Bekas pesara tentera, Wan Ali Wan
Hussin, 75, berkata Che Leh bersama keluarga berhijrah ke arah utara Kota Bharu
sebelum membuka penempatan baru yang kini dikenali sebagai Seberang Pasir Mas.
Che Leh dikatakan tertarik membina rumah barunya di kawasan itu kerana ia
terletak berhampiran tebing Sungai Kelantan, selain memudahkan beliau dan
keluarga melakukan kerja harian. Katanya, beberapa bulan selepas itu ramai
penduduk luar berhijrah ke kawasan terbabit, menyebabkan penempatan itu padat
dalam sekelip mata selepas Che Leh mengambil inisiatif sendiri untuk membina surau,
pasar dan pangkalan perahu.
“Pada masa sama, seorang guru agama
dari Bachok datang mengajar agama di kawasan itu, namun pulang ke kampungnya
sebaik selesai mengajar beberapa bulan kemudian. Beberapa hari selepas
kepulangan guru itu, tiba-tiba muncul tiga biji mangkuk emas di kawasan semak,”
katanya.
Menurut Wan Ali, ketiga-tiga mangkuk
itu kemudian dikatakan berpusing-pusing membentuk pusaran di sekitar kawasan
semak itu, menyebabkan mereka yang melihat kejadian itu menjerit, ‘Mas! Mas!’.
Perkataan ‘pasir’ pula timbul kerana berdekatan penempatan yang terletak di
tebing Sungai Kelantan itu kelihatan beberapa longgokan pasir sehingga
membentuk padang luas, menyebabkan kawasan terbabit digelar Pasir Mas, hasil
cantuman perkataan pasir dan mas.
Selain itu, Pasir Mas pernah menjadi
kawasan perdagangan terkenal di rantau Asia Tenggara apabila menerima kemasukan
kapal pedagang, khususnya dari Indonesia, China dan Tanah Arab. Difahamkan,
dianggarkan lebih 30 pangkalan bagi pendaratan kapal dan sampan didirikan di
sepanjang tebing Sungai Kelantan, antaranya Pengkalan Feri, Pengkalan Gedung,
Pengkalan Pasir, Pengkalan Tanjung Muleh dan Pengkalan Tok Leper.
Sejarah dan Asal Usul Pasir Mas,
Kelantan
- Dipercayai dibuka sekitar abad ke-14
- Bandar pentadbiran bagi jajahan Pasir Mas
- Ia bersempadan dengan jajahan Kota Bharu di sebelah timur dan jajahan Tumpat di sebelah utara
- Mempunyai keluasan 57,800 hektar
- Populasi penduduk seramai 206,400 orang (2009)
Sumber : http://www.ammboi.com/2011/11/20/sejarah-dan-asal-usul-pasir-mas-dikatakan-kilang-jelitawan/
Diterbitkan kembali : abaalqasim1648@gmail.com
Visit Us : RAUDHAH AL-ILMI
Ulasan
Catat Ulasan