Kelantan Perkenal Dinar Emas Edisi Baharu
PEGAWAI
E-pemasaran Kelantan Gold Trade, Nurfarhana Mohamad Nasir, menunjukkan Dinar
emas ( kanan ) dan Wafer emas. - Foto Fathil Asri
KOTA
BHARU: Kelantan sekali lagi memperkenalkan edisi baharu mata wang emas
berlandaskan syariah iaitu dinar dan wafer emas serta dinar emas dan dirham
perak.
Mata
wang yang menggunakan emas dan perak itu mempunyai nilai muka sah untuk dijual
atau sebagai gadaian di kedai pajak gadai Islam seperti Ar Rahn atau Ar Rahnu.
Diuruskan
Kelantan Gold Trade Sdn Bhd (KGT), anak syarikat milik penuh Perbadanan Menteri
Besar Kelantan (PMBK), KGT menawarkan wafer, dinar dan dirham terbabit mulai
semalam, yang boleh dibeli oleh orang ramai sebagai satu pelaburan atau
simpanan.
Bagi wafer emas yang bersaiz muka 15 x 8
milimeter (mm) bersamaan berat 1.0 gram dengan ketulenan emas 999 dan dinar
emas dengan nilai muka Satu Dinar seberat 4.250 gram berukuran diameter 22 mm
dengan ketulenan emas 917.
Manakala dirham perak, dua jenis
diperkenalkan iaitu yang bernilai Satu Dirham seberat 2.975 gram berukuran
diameter 22 mm dengan ketulenan perak 999 dan Dirham Belia seberat 29.75 gram
berukuran diameter 41 mm dengan ketulenan perak 999.
Produk dinar emas lain yang ditawarkan ialah
dalam bentuk 1/2 Dinar, Dua Dinar, 5 Dinar dan 8 Dinar, bagi Dirham perak pula,
Dua Dirham, 5 Dirham, 10 Dirham dan 20 Dirham manakala Dirham Belia dan Dirham
Wanita, masing-masing 10 Dirham dengan berat dan harga yang berbeza.
Nilai produk berkenaan yang ditawarkan
dijual oleh KGT mengikut harga semasa pasaran emas dan perak dan membeli semula
daripada jualan balik oleh orang ramai juga mengikut harga semasa dengan
sedikit pemotongan bagi kos risiko naik turun harga selepas itu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, berkata
kerajaan negeri sebelum ini sudah memperkenalkan dinar dan wafer emas pada
bulan Ogos 2010 yang dilancarkan oleh bekas Menteri Besar, Al-Marhum Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat.
Bagaimanapun, katanya disebabkan beberapa
masalah termasuk dari segi ketulenan produk yang dipersoalkan seperti tiada
nombor siri dan sijil ketulenan, ia kurang mendapat sambutan sehinggalah
sekarang diperkenalkan dalam bentuk edisi baharu yang dijamin ketulenannya.
Katanya, antara ciri baharu ketulenan logam
itu diperkenalkan dan dijamin oleh KGT ialah setia produk berkenaan mempunyai
nombor siri, kod dan sijil pengesahan.
"Walaupun bukan mata wang dalam
kegiatan ekonomi semasa untuk urusan jual beli dan perniagaan tetapi ia sebagai
mata wang syariah yang boleh dijadikan sebagai pelaburan dan simpanan wang
dalam bentuk nilai emas dan perak.
"Ia juga boleh dibeli untuk dijadikan
hadiah atau pun sebagai mas kahwin kerana ia mempunyai nilai dan sah dijual
beli dan kita juga mematuhi apa yang ditegur oleh Jabatan Audit Negara dari
segi operasinya dan menjaga ketulenan," katanya pada majlis Pelancaran
Dinar dan Wafer Emas Edisi Baharu keluaran KGT, di Kota Darulnaim di sini,
baru-baru ini.
Turut
hadir, Pengurus Besar KGT, Khalily An Kadir.
Ahmad berkata, sebagai sokongan bagi
mengukuhkan KGT sebagai pemain dalam industri perniagaan emas di negeri ini,
kerajaan negeri juga menetapkan dasar setiap syarikat perlombongan emas di
negeri ditetapkan menjual tidak melebihi 30 peratus bahan galian itu kepada
KGT.
Katanya, langkah itu sebagai menjaga
kepentingan logam itu tidak dilombong sewenang-wenangnya dipasarkan sepenuhnya
kepada pihak luar.
Sementara itu, Khalily berkata, pihaknya
menyasar jualan wafer dan dinar, emas sehingga lima kilogram sebulan manakala
dirham perak satu kilogram sebulan menerusi edisi baharu logam berkenaan.
Beliau menjangkakan sambutan baik akan
diterima daripada orang ramai menerusi produk edisi baharu yang ditawarkan itu
sebagai satu bentuk pelaburan dalam bentuk pembelian emas.
"Kita mensasarkan kutipan jualan produk
ini sehingga RM2.5 juta sebulan dan jualan wafer, dinar emas dan dirham perak
akan mengikut harga pasaran semasa," katanya.
Sumber
:
Oleh
Azman Mahmood
terbitan
: 2015
Ulasan
Catat Ulasan